Sunday, 31 January 2016

Teks penuh Perutusan Khas Perdana Menteri Tentang Pengubahsuaian Bajet 2016 di PICC, Putrajaya, 28 Januari 2016.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia

YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri

YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua

YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara

Saudara dan Saudari Para Hadirin dan Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

Hal 1: Mukadimah
1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nastain. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad Sollal-Lah-hu-a’laihi-wa-sallam.

2. Saya mulakan dengan memetik tafsir oleh para ulamak merujuk firman Allahu-Taala dalam surah Al-Insyirah bahawa, pada setiap kesulitan dan dugaan yang kita hadapi, pasti beriring dengannya kesenangan atau kebahagiaan yang berhikmah.

3. Maka hendaknya, begitulah keyakinan yang wajib ada dalam diri kita masing-masing dan semestinya yang diletakkan terhadap keadaan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Disebut orang sejak dahulukala, sekali air bah,… sekali pantai berubah. Kendati itu, tengahari ini, 28 haribulan Januari 2016, bertepatan 18 haribulan Rabiul Akhir 1437 Hijrah, satu lagi perutusan penting hendak saya sampaikan, kerana tampaknya Bajet 2016 turut tertakluk kepada perubahan yang berlaku di persekitaran ekonomi global.

5. Apa yang saya ingin perkata dan kongsikan hari ini, lebih bersifat penerangan, perbandingan, penjelasan dan langkah-langkah menangani situasi-situasi yang negara telah dan sedang lalui dalam pelbagai babak sejak hampir 2 dekad yang lalu.

6. Lantaran, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana, pada tengahari Khamis, yang mulia ini, hadirnya di dewan PICC ini, saudara dan saudari di kalangan pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.

7. Semuanya hadir ke majlis perutusan khas ini, bagi tujuan mendengar dan memahami tindakan Kerajaan, mengubahsuai dan menstruktur beberapa perencanaan ekonomi khususnya berhubung dengan Bajet 2016.

Saudara-saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8. Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.

9. Makanya, selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan, langkah-langkah yang akan saya umumkan sebentar lagi, merupakan rumusan setelah mengambil kira pendapat dan pandangan secara menyeluruh.

10. Ini turut dilengkapkan lagi melalui sesi – sesi perundingan dengan pelbagai economic stakeholders, termasuklah juga syarikat-syarikat GLC, ahli-ahli ekonomi serta pakar-pakar industri.

11. Bahkan, Kerajaan juga telah mendapatkan idea-idea bernas daripada pihak-pihak NGO, yang mewakili para pengguna, ahli-ahli perniagaan tersohor serta pengarah-pengarah perbankan runcit dari pelbagai peringkat.

12. Ternyata sebahagian besar daripada mereka, hadir bersama kita pada tengahari ini. Terima kasih saya ucapkan di atas semua input dan dokongan anda,…terima kasih,… terima kasih.
Indeed,… we are all doing this together for our nation.

Hal 2: Perbandingan Senario Ekonomi Negara Sejak 1997/98
Saudara-saudari sekalian,

13. Terlebih dahulu, mari kita himbau senario keadaan ekonomi negara ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 hingga 98.

14. Pada tahun 1997 hingga 98, negara telah mengalami apa yang disebut sebagai kegawatan ekonomi. Hinggakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, direkodkan pada negatif 7.4 peratus.

15. Ketika itu, janganlah kita lupa bahawa,… antara kesan besar kegawatan ekonomi yang berlaku tersebut, telah menatijahkan pemberhentian pekerja secara mendadak, inflasi meningkat, rizab antarabangsa pula menyusut kepada 59 bilion ringgit, hatta indeks pasaran saham KLSE jatuh menjunam sehingga mencecah paras 260.

16. Begitu banyak, syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar, sampaikan segolongan anak-anak kita waktu itu antaranya lepasan SPM dan juga pasca sarjana muda, ramai yang hancur luluh hasrat dan impian mereka, untuk menyambung pengajian ke luar negara terbantut, disebabkan Kerajaan masa itu tidak mampu memberi pembiayaan.

Saudara dan saudari serta rakyat Malaysia sekalian,

17. Jadinya, atas situasi yang melanda itu, Kerajaan yang memimpin pada tempoh itu, telah mengambil langkah-langkah drastik termasuklah pelaksanaan kawalan modal atau capital control dan tambatan matawang pada 3.8 ringgit berbanding 1 dolar Amerika.
18. Institusi perbankan telah dirasionalisasi, hutang syarikat swasta distruktur semula melalui penubuhan Danaharta dan Danamodal. Kerajaan ketika itu juga, telah melaksanakan pakej rangsangan bernilai 7 bilion ringgit untuk memulihkan kembali ekonomi domestik.
Saudara dan Saudari sekalian,

19. Seterusnya, negara sekali lagi menghadapi kegawatan ekonomi pada senario 2008 hingga 2009. Ia akibat subprime crisis di Amerika yang memberi impak kepada ekonomi global, serta kenaikan mendadak harga minyak dunia, sehingga mencecah 130 dolar Amerika setong, berbanding purata 70 dolar Amerika setong pada tahun sebelumnya, yakni 2007.

20. Eksport negara pula menyusut lebih 15 peratus. Kesannya, sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan turut terjejas.

21. Ketika itu, saudara dan saudari, saya baru sahaja dilantik sebagai Menteri Kewangan dan tanpa berlengah lagi, mengambil langkah segera dengan membentangkan pakej rangsangan ekonomi pertama yang bernilai 7 bilion ringgit pada November 2008.

22. Beberapa bulan selepas itu, diikuti pula dengan pakej rangsangan kedua bernilai 60 bilion ringgit pada Mac 2009, untuk terus merangsang aktiviti ekonomi domestik. Pakej rangsangan kedua ini juga, melibatkan kerjasama dan inisiatif daripada pihak Kerajaan dan swasta.

23. Tidak cukup sekadar pakej-pakej itu, selanjutnya, selepas sahaja saya mengambil tampuk kepimpinan negara, pelbagai prakarsa telah Kerajaan rencana dan laksanakan, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN sehingga kini.

24. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, demi memacu Malaysia menjadi Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2020.

25. Hasil mahsulnya, daripada sekian banyak inisiatif dan program transformasi, Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi negara terus ampuh dengan purata KDNK 5.6 peratus, mengurangkan defisit fiskal Kerajaan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus, serta kadar inflasi yang terkawal.

26. Manakala, kita juga bersyukur, kerana kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Selain itu, sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, serta memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1 Malaysia seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, juga program perumahan mampu milik.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

27. Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup,… langit pula tidak selalunya cerah. Menjengah senario ekonomi negara pada tahun lepas, yakni 2015, Malaysia diuji lagi dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga dan berada di luar kawalan kita.

28. Harga minyak telah jatuh daripada 100 dolar Amerika, kepada 48 dolar Amerika setong. Sejak itu, harga minyak terus turun, hinggakan Bajet 2015 perlu diubahsuaikan.

29. Apa yang berlaku pada tahun lepas, hasil negara daripada sumber berasaskan minyak, telah jatuh hampir 14 bilion ringgit. Maka, pada 20 haribulan Januari 2015, bagi pihak Kerajaan, saya telah membentangkan pengubahsuaian ke atas Bajet 2015, dengan merasionalisasi perbelanjaan serta menyemak semula sasaran defisit fiskal kepada KDNK, daripada 3 peratus kepada 3.2 peratus.

30. Ingin saya nyatakan bahawa, pengubahsuaian Bajet 2015 tersebut, turut disokong oleh inisiatif seperti rasionalisasi subsidi minyak yang telah dilaksanakan terdahulu, walaupun ianya merupakan keputusan yang tidak popular.

31. Syukur kepada Allah, kesemua langkah ini telah berjaya mengurangkan kesan akibat daripada kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.

32. Bahkan, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi dan kedudukan kewangan kita, dengan mengekalkan penarafan yang baik.

33. Dengan semua ini, saya yakin ekonomi akan mencatat pertumbuhan 5 peratus dan defisit fiskal kepada KDNK pada 3.2 peratus, seperti yang disasarkan pada 2015. Insya-Allah, laporan sebenar akan diumumkan pada bulan hadapan.

Hal 3: Senario Ekonomi Terkini
Saudara dan saudari sekalian,

34. Bagi tahun 2016 pula, ekonomi global dijangka lebih mencabar. Data semasa oleh IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus.

35. Manakala, perdagangan dunia juga dijangka menyusut, daripada 4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China juga dijangka berkembang dengan lebih perlahan.

36. Trend ini membuktikan, we are not alone in facing the global economic challenges. Negara-negara lain juga turut menerima kesan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.

37. Harga minyak mentah dunia pula, terus merudum pada paras 30 dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.

38. Perkara ini ternyata akan memberi kesan signifikan kepada hasil negara. Malah, negara-negara pengeluar minyak turut terjejas ekonomi mereka.

39. Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding matawang lain. Antara matawang tersebut adalah, Real Brazil, negatif 23.2 peratus, Renminbi China, negatif 5.7 peratus, Dolar Kanada, negatif 11.3 peratus, Ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan Dolar Singapura, negatif 5.6 peratus.

40. Sementara itu, nilai Ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada 4.25 ringgit setakat 27 Januari 2016.

41. Hakikatnya ringgit kini di rendah nilai daripada yang sewajarnya, seraya tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara. Oleh itu, ringgit dijangka akan lebih menggambarkan kekuatan sebenar asas ekonomi apabila keadaan pasaran kewangan global kembali stabil kelak, dan harga minyak kembali kepada paras yang lebih munasabah.

Hal 4: Langkah-Langkah Baru dan Terkini
Saudara dan Saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi,

42. Kesemua perkembangan yang telah saya nyatakan itu, telah mengakibatkan ekonomi global menjadi tidak menentu, dan tempiasnya ke atas ekonomi domestik turut memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

43. Menyedari hakikat ini, demi menggalas amanah sebagai Ketua Kerajaan yang bertanggungjawab, bersama Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri, pada hari ini, kita mengambil tindakan proaktif untuk membuat pengumuman bagi melaksanakan langkah-langkah pengubahsuaian terhadap Bajet 2016.

44. Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat penting untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama, melindungi kebajikan rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita akan berjaya mengharungi sekali lagi cabaran ekonomi ini.
We have done it before,… Insya-Allah,… we can do it again.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

45. Seperti mana situasi tahun lalu, sekali lagi saya mahu tegaskan bahawa,… dengan izin Allah jua,… negara ini tidak dan bukannya berada dalam kegawatan ekonomi, mahupun technical recession.

46. Malah, dengan berkat usaha dan doa kita bersama, mudah-mudahan pertumbuhan ekonomi domestik akan terus kekal kukuh, dan berdaya tahan, serta mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

47. Selain meneruskan dengan langkah-langkah yang dirumuskan pada pembentangan Bajet 2016 yang lalu, sukacita saya umumkan pula 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian, demi mempastikan ekonomi dan kewangan negara, kekal berada pada jajaran yang betul.

48. Langkah pertama: Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

49. Langkah kedua: Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015. Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai.

50. Langkah ketiga: Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:

Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten.
Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus diutamakan.

Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.

Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.

Empat: Dalam waktu yang sama, saya mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.

Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan standard; dan

Enam: Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

51. Langkah keempat: Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.
Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit, sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.

52. Langkah kelima: Selaras dengan apa yang saya umumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.

53. Langkah keenam: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:

Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau tax evaders.

Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.

Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.
Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini.
Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai ini.

Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan

Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.

Saudara dan Saudari sekalian,

54. Langkah ketujuh: Di atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.

Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.

55. Langkah kelapan: Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.

56. Langkah kesembilan: Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.

57. Langkah kesepuluh: Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup companies; dan

58. Langkah kesebelas: Saya menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.

Saudara dan saudari sekalian,

59. Kini, sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang. Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.

60. Selain itu juga, Kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara yang dikenalpasti.
61. Sebagai langkah tambahan, sukacita saya umumkan, bahawa pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free, bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.

Saudara dan saudari sekalian,

62. Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan 7 hingga 9 bilion ringgit, berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak 48 dolar Amerika setong, Kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat.

63. Misalannya, Program Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus dilaksanakan. Di sini juga saya tegaskan, bahawa Kerajaan akan mengekalkan kadar GST seperti sedia ada.

64. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah people economy.

65. Ini, tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism. Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.
Bahkan, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet.

66. Kesemua langkah berhemat yang dibentangkan sebentar tadi, dijangka dapat menjimatkan sehingga 9 bilion ringgit perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Saudari dan saudari sekalian,

67. Meski apapun yang berlaku, Kerajaan tetap memberi jaminan dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak kita. Dengan ini, Kerajaan bersetuju, untuk meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti berikut:

Pertama, Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.

Kedua, Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan

Keempat, Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.

68. Seterusnya, peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan terus disalurkan kepada para mahasiswa.

69. Selanjutnya, bagi mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.

70. Untuk pengetahuan ramai, pada masa ini sahaja, seramai 25 ribu pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program-progam ini. Makanya, sebagai tambahan, saya mahu menyatakan bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan tambahan seramai 15 ribu pelajar baru untuk program MyMaster, 5 ribu pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran. Kesemua program ini akan diberi peruntukan tambahan sebanyak 300 juta ringgit.

Saudara dan saudari sekalian,

71. Seterusnya, saya ingin menyatakan bahawa:
Pertama: Dengan mengambil kira senario ekonomi semasa, Kerajaan telah membuat keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2016, kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong;

Kedua: Kerajaan tetap komited mengekalkan langkah konsolidasi fiskal bagi tahun 2016, iaitu untuk mencapai sasaran 3.1 peratus kepada KDNK;

Ketiga: Kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada KDNK;

Keempat: Kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit;

Kelima: Dasar monetari yang akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri; dan

Keenam: Mempastikan sistem kewangan negara mempunyai kecairan yang mencukupi. Terbaru, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan penurunan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun atau Statutory Reserve Requirement, daripada 4 peratus kepada 3.5 peratus.

72. Jelasnya, Kerajaan tidak akan berganjak daripada dasar-dasar fiskal dan monetari, demi keutuhan ekonomi negara.

73. Selain itu, Kerajaan juga bimbang dengan kos gaya hidup rakyat yang tidak bersesuaian dan melebihi kemampuan mereka. Sehubungan ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia, akan memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami kesukaran dalam menguruskan obligasi hutang, melalui penyusunan semula pinjaman sedia ada. Berita baiknya, kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma.

Saudara dan saudari sekalian,

74. Sebagai tambahan, bagi PKS dan syarikat korporat berdaya maju yang mengalami tekanan kewangan disebabkan oleh persekitaran semasa, Kerajaan turut menyediakan mekanisme perundingan, melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.

75. Dari segi pelaburan pula, saya ingin menekankan bahawa, Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit tahun ini.

76. Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.

77. Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan Kangar.

78. Manakala, empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun ini, Insya-Allah.

79. Seterusnya, bagi menembusi pasaran antarabangsa, MATRADE dan SME Corp akan memperhebatkan program mid-tier dan Go-Export. Selain itu, untuk meningkatkan kemudahan jaminan kredit bagi tujuan perdagangan, Exim Bank akan menambah dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit.

80. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka, Kerajaan akan meluaskan pasaran eksport. Kita harus meneroka pasaran baru melalui penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan bebas, seperti ASEAN Economic Community atau AEC, dan Trans-Pacific Partnership Agreement, atau TPPA serta Regional Comprehensive Economic Partnership pada masa akan datang.

Saudara dan saudari sekalian,

81. Berkait isu TPPA ini yang Alhamdulillah telah diluluskan oleh Dewan Rakyat lewat petang semalam, tidak timbul sama sekali tuduhan oleh sesetengah pihak, kononnya kita berkompromi tentang soal kedaulatan negara, apatah lagi bersifat apologetic dalam mempertahankan agenda Bumiputera, ketika berunding dengan anggota-anggota TPPA.

82. Malah, ketahuilah bahawa hasil kesungguhan dan ketegasan Kerajaan dalam proses perundingan, akhirnya, anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.

83. Ertinya, agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.

Hal 5: Penutup

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

84. Sesebuah negara maju bukan sahaja kerana dasar-dasar yang betul dan baik, tetapi juga kerana sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat.

85. Kita semua mempunyai peranan masing-masing, tidak kira samaada pihak swasta, Kerajaan, NGO, Belia atau Wanita. Tidak kira CEO, Pengarah, Pegawai Pelaksana, buruh ataupun seorang peniaga kedai.

86. Secara keseluruhannya, dapat saya gariskan lima perkara as the key salient points:

Pertama: Langkah pengubahsuaian yang saya umumkan tadi merupakan langkah proaktif, telus dan realistik seiring dengan cabaran ekonomi semasa;

Kedua: Ekonomi negara masih utuh, tumbuh dan berkembang serta berdaya tahan dipacu oleh aktiviti ekonomi domestik;

Ketiga: Kesejahteraan rakyat akan terus didahulukan dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas;

Keempat: Kerajaan komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal; dan

Kelima: Pengubahsuaian bajet ini bertunjangkan kepada prinsip shared responsibility oleh segenap lapisan masyarakat.

Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

87. Secara kesimpulannya, perutusan penstrukturan dan pengubahsuaian ini, sama juga seperti perutusan tahun lepas, bukanlah satu bajet yang baharu. Ia masih di dalam ruang lingkup inisiatif serta peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen bagi Bajet 2016.

88. Apa yang jelas, kita faham bahawa, perihal-perihal bersangkut ekonomi dan fiskal negara, bukanlah perkara-perkara yang mudah dihadam, mahupun difahami oleh semua peringkat.
89. Bahkan, ia tidak sekadar terletak kepada tanggungjawab dan amanah di peringkat tertinggi pentadbiran negara.

90. Meminjam kata-kata orang tasawuf, dalam hidup dan kehidupan dan dalam negara serta berkerajaan, setiap orang perlu memainkan peranan, saling ganding berganding, berat sama dipikul, ringan pula sama dijinjing, pandanglah yang Satu kepada yang ramai, pandanglah yang ramai kepada yang Satu, itulah dia sumber kekuatan.

91. Lantas, sesudah ini, saya berharap tiap lapisan memainkan peranan masing-masing bagi menerangkan letak duduk keadaan ekonomi dan ikhtiar-ikhtiar yang tidak kunjung putus diambil oleh Kerajaan yang mentadbir, bagi terus memperteguhkan keadaan ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat, agar dampaknya tidak begitu terkesan dan terbeban di bahu mereka.

92. Maksud saya, semua golongan dari pentadbiran Kerajaan hinggalah kepada cendekiawan yang mahir ilmu pengetahuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut akan ehwal yang berlaku supaya semua pihak dari se-atas hingga se-bawah-bawahnya, membawa kepada perbualan di gerai gerai mamak dan teh tarik, mengetahui seboleh mungkin perihal cabaran serta tantangan yang negara hadapi kini.

93. Dengan itu, moga-moganya, anak cucu kita kelak, akan memberi rasa hormat atas setiap kebaikan yang kita capai demi kelangsungan Malaysia yang sebenarnya bukanlah hak kita, namun adalah hak warisan generasi akan datang.

94. Jelasnya, kita berpegang kepada madah orang-orang tua, berdiam dirilah daripada berkata yang bukan-bukan, namun bersuaralah kepada perkara yang berguna. Usah ditanya apakah bakti negara kepada kita, sebaliknya, tanyalah apakah sumbangan kita kepada nusa dan bangsa.
Saudara dan Saudari,

95. Pucuk pangkalnya, perlu difaham baik-baik, bahawa apa yang sedang dihadapi, bukanlah kerana kegagalan Kerajaan merancang, tetapi kemelut ekonomi global yang terus terusan melanda, sememangnya, berada di luar kawalan tangan tangan kita.

96. Sesungguhnya, setiap keputusan yang kita lakukan hari ini, adalah yang terbaik untuk rakyat dan pastinya akan terakam dalam sejarah. Bahawa, Malaysia bukan sebuah negara yang gagal, seperti yang didakwa dan dituduh-tuduhkan, jauh sekali menjadi bankrap. Nauzubillah…

97. Bahkan,… realitinya kita masih berada dalam keadaan yang stabil dengan pertumbuhan yang kukuh, sekaligus mampu bertahan lagi kekal terus berdaya saing. Insya-Allah.

98. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah yang maha berkuasa, semoga akan terungkai segala masalah, beroleh berkat dan selamat, serta sentosalah Malaysia, zahir dan batin.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

"Sumber dipetik Utusan Online"

Saturday, 21 June 2014

Cara Mudah Mengira Had Limit Kad Kredit

Bagi pemilik kad kredit sedia ada, mungkin dah dapat agak kadar had limit diberikan berdasarkan gaji bulanan diterima. Tip mudah mengira kadar limit kad kredit:-

Contoh 1
Gaji bulanan RM2500
Kadar limit sekitar RM5000 - RM6000

Contoh 2
Gaji bulanan  RM3500
Kadar limit sekitar RM7000 - RM9000

Diamati contoh diatas, nisbah digunakan adalah 2x atau 2.5x dari gaji sebulan. Kaedah ini adalah secara kasar dan bergantung kepada polisi pihak bank tentukan.

Semoga tip ini mudah kita menilai tahap kemampuan kita berhutang. Jangan biarkan hutang kawal kita tapi kita kawal hutang.


Monday, 23 January 2012

Analisi Ekonomi: Rakyat Malaysia gemar berbelanja Oleh Mohd Afzanizam

2012/01/23

Isi rumah patut amal pembelian berhemah jamin kedudukan kewangan yang baik

TABIAT berbelanja memang agak sinonim di kalangan rakyat negara ini khususnya apabila menjelang musim perayaan. Iklan jualan murah serta pelbagai potongan harga yang menarik sering kelihatan disiarkan sebagai pelaris sesuatu promosi barangan itu.
Namun, aliran perbelanjaan tidak terhad kepada pembelian barangan saja malahan, sektor perkhidmatan seperti pelancongan dan perhotelan serta automotif juga mendapat manfaat daripada sikap rakyat Malaysia yang suka berbelanja. Perangkaan seperti Kecenderungan Marginal untuk Kepenggunaan (MPC) iaitu statistik yang mengukur kecenderungan bagi isi rumah berbelanja bagi setiap ringgit kenaikan dalam pendapatan jelas menunjukkan rakyat Malaysia berada dalam kumpulan yang mempunyai kecenderungan tinggi ke arah itu.

Selain itu, kajian Bank Negara Malaysia menunjukkan pengguna di negara ini telah mengalami perubahan dalam tabiat perbelanjaan dengan perbelanjaan terhadap barang bukan keperluan seperti restoran dan hotel, komunikasi, rekreasi dan kebudayaan telah meningkat berbanding perbelanjaan terhadap keperluan asas.

Perkara ini di sebabkan peningkatan dalam pendapatan boleh guna serta faktor pengumpulan kekayaan.

Persoalannya, adakah ini sesuatu yang sihat bagi ekonomi negara? Sebagai negara yang mempunyai sistem ekonomi terbuka, ancaman seperti kelembapan ekonomi dunia akan memberi kesan langsung terhadap prestasi eksport serta sektor pembuatan atau perkilangan.
Dari sudut perniagaan, kecenderungan untuk berbelanja oleh isi rumah jelas menunjukkan negara mampu menawarkan peluang perniagaan yang baik.

Kecenderungan berbelanja ini akan memastikan permintaan kekal terhadap barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan.
Ia sekali gus akan mewujudkan peluang pekerjaan jika pernigaan memilih negara kita sebagai hub pengeluaran mereka.
Sebagai contoh, rangkaian peruncitan hiper serta jenama kenderaan dari Jepun sudah lama bertapak di negara ini dan pelbagai peluang pekerjaan juga di wujudkan hasil daripada pelaburan asing oleh syarikat ini.

Namun, tabiat berbelanja seharusnya berlaku secara seimbang supaya tidak menggalakkan pembaziran akibat perbelanjaan yang melebihi had.

Setiap individu harus mempunyai belanjawan bulanan serta memantau setiap perbelanjaan dikeluarkan supaya tidak dibebani hutang kad kredit berlebihan.

Selain itu, kadar inflasi tinggi juga akan menyebabkan pendapatan boleh guna individu berkurangan. Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan kenaikan harga barangan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.

Perbelanjaan yang berhemah seharusnya menjadi dasar teras bagi sesebuah isi rumah menjamin kedudukan kewangan yang baik.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah bijak memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ketujuh iaitu berkaitan usaha memerangi kos kehidupan yang kian meningkat.

Jika usaha ini dapat dijayakan, sumber pertumbuhan ekonomi seperti perbelanjaan swasta akan dapat diperkukuhkan, sekali gus mampu untuk mengekang ancaman kelembapan ekonomi dunia.

Penulis ialah penganalisis ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd

@ihsan Berita Harian 23/1/12 

Sunday, 30 October 2011

Belanja guna kad kredit hanya illusi


Pelabur yang baik bukan saja mampu membuat keputusan pelaburan yang betul dan berdasarkan maklumat tepat, tetapi juga bijak menguruskan perbelanjaan kerana tiada gunanya melabur dengan baik jika merosakkannya dengan perbelanjaan tidak diperlukan.

Antara ciri menunjukkan kegagalan merancang kewangan dengann baik adalah :-
1- membelanjakan wang yang tidak ada. Misalnya menggunakan kad kredit terlebih dulu dengan harapan dapat membayar balik sebaik mendapat bonus yang kononnya bakal diperoleh walaupun ia hanya sekadar khabar angina serta belum dapat dipastikan lagi.
2- mengamalkan gaya hidup mewah walaupun hutang kad kredit keliling pinggang
3- tidak mempunyai sebarang perancangan berbelanja sebaliknya membeli apa saja barangan yang diminati ketika itu.

Menguruskan perbelanjaan dengan baik juga meliputi sikap berjimat cermat dan tidak mudah terpengaruh dengan jualan murah walaupun ada barangan dijual sehingga diskaun 70 peratus.

Ramai orang berbelanja sakan ketika jualan murah walaupun pada hakikatnya barang yang dibeli tidak ada dalam senarai bajet mereka selain tidak dapat memastikan adakah produk it benar-benar dijual pada harga murah dan berpatutan.

Ketika ini, penggunaan kad kredit dimudahkan dan ia boleh digunakan hampir dimana saja menyebabkan seseorang yang tidak berdisplin dalm pembelanjaan sukar mengawal keinginan membeli.

Berbelanja menggunakan kad kredit sebenarnya hanya memberi ilusi yang seorang itu mempunyai lebih banyak wang daripada hakikatnya hingga mendorong orang ramai berbelanja lebih.

Tiada salahnya memiliki kad kredit malah ia memberi banyak kelebihan kepada mereka yang bijak menggunakannya kerana kad berkenaan boleh digunakan di saat kecemasan atau apabila perlu saja.

Tabiat berbelanja menjelang sesuatu perayaan juga perlu dibendung dan tidak sewenangnya menukar set sofa, langsir atau baju baru sekiranya yang lama masih elok digunakan.

Orang yang mahu menjadi perancang kewangan yang baik juga tidak seharusnya menjadi pengikut setia iklan dan barangan terkini atau pengikut trend kerana ia akan menyebabkan banyak perbelanjaan tidak perlu yang akhirnya akan menyebabkan pembaziran atau penyesalan selepas barangan itu dibeli

Sumber : Harian Metro 17/9/2011

Monday, 24 October 2011

Kaedah mengira wang : Peraturan 72 cara mudah mengira pelaburan atau hutang


Peraturan 72 cara mudah mengira pelaburan atau hutang

Artikel ini memberikan cara mudah yang biasanya digunakan untuk mengira  berapa cepat pelaburan boleh berkembang. Jika anda menyimpan RM 1000 dalam simpanan tetap hari ini dan memperoleh pulangan 3% setahun, adakah anda tahu berapa lama masa diambil untuk wang itu menjadi RM2000?

Sebelum anda bergelut mencari kalculator, biar kami memberi jawapannya iaitu 24 tahun. Bagaimana angka itu diperoleh hanya dalam masa beberapa saat?

Mudah saja, dengan membahagikan 72 dengan 3 (kadar faedah). Ya, 24 tahun ialah masa diperlukan untuk RM1000 berganda menjadi RM2000 (dengan andaian tiada deposit lain dibuat dalam tempoh itu.

Peraturan 72

“Peraturan 72” ialah cara biasa membantu pelabur mengira masa menggandakan wang mereka, dengan satu kadar faedah atau pulangan jika pelabur tidak menambah pelaburannya dalam tempoh mastu itu. Ini dinamakan Peraturan 72 kerana pada 10 peratus wang itu akan berganda setiap 7.2 tahun. Bagaimanapun, peraturan ini hanya boleh digunakan bagi membuat anggaran.

Apa lagi kegunaan peraturan ini?

Bahagikan 72 dengan jumlah tahun yang anda mahukan bagi wang berganda. Contohinya, jika anda mahu wang berganda dalam masa 10 tahun, anda memerlukan pulangan konsisten sebanyak 7.2 peratus setahun daripada pelaburan anda.

Pengiraan
72/X tahun = Y (% pulangan)
72/10 tahun = 7.2 (% pulangan)

Jika anda meminjam RM10,000 pada kadar faedah 12 peratus, hutang anda mengambil masa 6 tahun untuk berganda menjadi RM20,000 jika anda tidak membuat sebarang bayaran. Jadi, bayarlah hutang kad kredit anda sekarang!

Pengiraan
72/Y (kadar faedah)  = Y (tahun)
72/12 (kadar faedah)  = 6 (tahun)

Bagi mereka yang masih gemar menyimpan wang di bawah tilam, peraturan ini menunjukkan bagaimana kadar inflasi boleh menyebabkan nilai wang anda boleh merosot hingga separuh. Misalnya, jika kadar inflasi dianggarkan 2%, wang anda hanya bernilai separuh daripada nilai asalnya dalam tempoh 36 tahun. Jadi, jika anda mempunyai RM1000 hari ini, wang itu hanya bernilai RM500 dalam tempoh 36 tahun akan datang. Ini sudah tentu, dengan andaian kadar inflasi kekal sepanjang tempoh itu.

Pengiraan
72/W (kadar inflasi)  = Y (tahun)
72/2 (kadar inflasi)  = 36 (tahun)


Kelemahannya

Antara kelemahan pengiraan ini ialah ia tidak mengambil kira sebarang wang tambahan yang anda boleh atau akan laburkan dalm tempoh itu.

Peraturan intu mengandaikan pelaburan anda mempunyai cukai tertunggak dan mendapat faedah pengkompaunan. Peraturan ini terpakai bagi anggaran saja dan bukan untuk pengiraan tepat.

Kesimpulan

Peraturan 72 adalah cara cepat untuk meramal berapa pantas wang atau hutang anda berkembang, berapa banyak pulangan diperlukan untuk memperoleh atau mencapai matlamat kewangan dan bagaimana kesan inflasi terhadap tabungan.

Sila ambil perhatian bahawa kesan pulangan, inflasi dan kadar faedah yang disebut dalam artikel ini hanya sebagai contoh dan tidak dimaksudkan sebagai mewakili sebarang pelaburan tertentu atau menggambarkan sebarang pulangan terjamin, pelabur perlu ingat, nilai pelaburan sebenar mungkin turun naik.

Friday, 19 August 2011

Utusan Malaysia Online - Ekonomi

Fungsi OPR dan BLR dalam sistem perbankan

BANK Negara Malaysia diramal menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali lagi pada tahun ini dengan alasan membendung inflasi. Saya ingin bertanya adakah benar perbankan Islam mempunyai had kenaikan tertinggi dalam asas asas pembiayaan (BLR) berbanding perbankan konvensional jika kenaikan OPR terus berlaku.
SHAFIQ ROSLAN,
Segambut

KADAR Dasar Semalaman (OPR) telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan keberkesanan mekanisme transmisi dasar wang dan juga untuk menggalakkan penetapan harga yang lebih cekap oleh institusi perbankan, iaitu, bank Islam dan juga bank konvensional. Memandangkan industri perbankan Islam beroperasi dalam sistem dwiperbankan dan tidak mempunyai kadar penanda aras tersendiri, ia tetap menggunakan BLR sebagai kadar penanda aras, yang dikenali sebagai Kadar Pembiayaan Asas atau Islam, atau singkatan Inggeris “BFR” atau “IFR”.
Dari sudut pembiayaan Islam, memang terdapat kadar tertinggi bagi produk pembiayaan Islam Bai Bithaman Ajil (BBA), yang disusun menggunakan kaedah campuran, iaitu membabitkan kadar tetap dan terapung. Dalam keadaan ini, bank akan menggunakan kadar had yang tinggi untuk mengira harga jualan manakala pelanggan diminta membayar mengikut kadar pasaran. Jika terdapat peningkatan/pengurangan dalam BFR, ansuran pelanggan akan berubah dengan sewajarnya. Bagaimanapun, ansuran tidak boleh melebihi kadar had yang ditetapkan.
Dalam suasana BLR yang rendah, pembiayaan Islam nampak seperti lebih mahal daripada pinjaman biasa, terutamanya apabila kadar had/siling tinggi digunakan untuk mengira ansuran. Oleh yang demikian, sesetengah bank Islam telah bertukar daripada instrumen kadar tetap, iaitu produk BBA, kepada pembiayaan berasaskan sewa (pajakan) seperti yang ditawarkan oleh OCBC Al- Amin.
Dalam struktur Ijarah ini, kos pembiayaan adalah berasaskan kadar sewa yang fleksibel dan tidak tetap seperti kadar BBA. Kadar sewa boleh diubah dari masa ke masa untuk mencerminkan keadaan pasaran. Justeru, bank Islam berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengurangkan risiko kadar faedah berbanding keupayaannya berbuat demikian di bawah sistem kadar tetap BBA. Ini membolehkan bank Islam bersaing dengan bank konvensional, terutamanya dalam suasana kadar faedah rendah. Dalam struktur ini, tiada kadar siling kerana ansuran berubah-ubah berasaskan pergerakan BLR/BFR.
Keadaan ini saling menguntungkan bank dan juga pelanggan, khususnya mereka yang suka membandingkan kadar dalam suasana kadar faedah rendah, manakala bank dapat menguruskan kos dan bersaing dengan produk pinjaman konvensional. Memandangkan kedua-dua struktur mempunyai ciri kelebihan yang tersendiri, kelemahan struktur pajakan ini ialah ia mungkin dilihat seolah-olah ‘agak sama’ dengan produk biasa walaupun mengekalkan cirinya sebagai produk yang patuh Syariah.


 Utusan Malaysia Online - Ekonomi 19/8/2011

Monday, 20 June 2011

Mahirkan diri urus hutang

Mahirkan diri urus hutang


SYAIFUL AZLAN SURAZI merupakan salah seorang pengguna kad kredit yang bebas daripada belenggu hutang selepas mendapat khidmat AKPK.



PINJAMAN peribadi dan kad kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyi hutang mungkin tidak sedap didengar.

Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis. Menurut Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, rakyat negara ini seharusnya mengikis tabiat berhutang dan liat membayar hutang agar tidak terus menjadi satu budaya.
Katanya, rakyat negara ini perlu diberi kesedaran dan kemahiran mengurus kewangan termasuk hutang. Tambahan sekarang, institusi kewangan itu sendiri menggalakkan orang berhutang termasuk memberi kemudahan kad kredit.

“Ada institusi kewangan yang begitu mudah menawarkan pinjaman kepada pemegang akaun mereka walaupun tidak diminta. Bagi yang mudah terpengaruh, akan menerima tawaran tersebut dan akhirnya terjebak dengan hutang yang tidak berkesudahan,” tegas Mohd. Yusof.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau kegiatan institusi kewangan seperti itu kerana ia adalah amalan yang tidak sihat lantaran secara terang-terangan menggalakkan orang berhutang.
Pada masa yang sama kerajaan dilihat turut tegas mengambil langkah memerangi kegiatan ah long atau ceti haram kerana ia adalah antara punca mudah berhutang. Mohd. Yusof lalu merujuk kepada satu kenyataan BNM apabila sehingga akhir November 2010, hutang isi rumah mencecah sebanyak RM577 bilion.
Daripada jumlah tersebut, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion pinjaman peribadi dan RM225 bilion pula pinjaman perumahan.

Risiko muflis
Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan. Sekiranya orang yang berhutang gagal menjelaskan ansuran pinjaman tersebut dua kali berturut-turut, institusi kewangan menghantar notis kepada si berhutang, katanya.
Tambahnya, jika jumlahnya melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis! Beliau merujuk kepada statistik kes muflis Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010 di mana seramai 80,348 orang disenarai muflis.

Sebab muflis
Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai adalah hutang cukai pendapatan, hutang kad kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain. Statistik daripada sumber yang sama menunjukkan sebab kebankrapan utama adalah keberhutangan yang lain (29.05 peratus), diikuti sewa beli kenderaan (24.12 peratus), hutang pinjaman perniagaan (10.93 peratus), pinjaman perumahan (7.49 peratus) dan hutang kad kredit (5.50 peratus).

Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan paling ramai muflis ialah Melayu 39.76 peratus diikuti Cina 33.36 peratus, India 9.53 peratus sementara lain-lain 17.34 peratus.

Memang pantau
KEGAGALAN melunaskan hutang ah long mengancam keamanan hidup dan keselamatan nyawa seseorang peminjam.


Menurut Mohd. Yusof, FOMCA memang dari semasa ke semasa memantau sikap suka berhutang dan ia merangkumi semua peringkat masyarakat dan kaum. Pemantauan itu dilaksanakan susulan daripada program pengurusan kewangan dengan BNM oleh Fomca, yang bermula Jun 2010 hingga April ini.
“Data berkaitan kadar pinjaman dan hutang rakyat Malaysia digunakan semasa program pengurusan kewangan untuk memberikan kesedaran kepada peserta tentang tabiat buruk berhutang. Selain itu, FOMCA dengan kerjasama Bank Negara sedang menerbitkan buletin Ringgit secara bulanan.
“Buletin ini memuatkan rencana mengenai pengurusan kewangan peribadi,” tambah Mohd Yusof.
Mohd. Yusof berkata, memang ada agensi dan badan bukan kerajaan mengadakan program pengurusan kewangan bagi golongan muda dan dewasa.

Pihak berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Sekuriti melalui Securities Industry Development Corporation dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Bagi mengelakkan pertindanan dari segi sasaran program dan bagi menyelaraskan program pengurusan kewangan, FOMCA menurut Mohd. Yusof, telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan (SPKK). Suruhanjaya tersebut, katanya perlu memberi tumpuan kepada empat fungsi utama iaitu membina kesedaran awam terharap sumber sedia ada, membangunkan strategi penyebaran maklumat dan mengikut golongan sasar.

Tidak ketinggalan SPKK perlu mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta serta akhir sekali melakukan kajian dan penilaian terhadap program pendidikan kewangan. SPKK juga perlu mengkoordinasi semua program pendidikan pengurusan kewangan semua agensi untuk meminimumkan sebarang pertindanan dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan.

Di samping itu, ia juga perlu membangunkan satu strategi nasional untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan untuk semua rakyat Malaysia dan membangunkan satu laman web pendidikan peringkat kebangsaan untuk membekal maklumat tentang pendidikan pengurusan kewangan. “Ia juga perlu mewujudkan satu talian tol bebas untuk orang ramai mendapatkan bahan yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan kewangan,” kata Mohd. Yusof.

Dari segi mengurus hutang, beliau berkata ia mesti dikendalikan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Beliau menambah pengguna juga hendaklah dimaklumkan tentang semua caj dan sebarang caj yang melibatkan pengguna sebelum caj tersebut dikenakan.
“Dalam semua hal, pengguna perlu dilindungi oleh Bank Negara dan semua kontrak hendaklah ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami,” katanya. Pada masa yang sama, Mohd. Yusof berkata, masyarakat juga perlu diberi pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan yang ada untuk keperluan masa depan termasuk untuk kecemasan.

Pakej simpanan yang perlu diberi pendedahan ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, insurans hayat/takaful (termasuk yang menyediakan pakej simpanan) serta amanah saham.
Beliau turut menyarankan supaya pelaburan terhadap emas perlu diberi pertimbangan memandangkan pada masa ini harga emas semakin meningkat, selain nilainya yang stabil. – Bernama

p/s : beringat sebelum kena :)

petikan : kosmo