Teks penuh Perutusan Khas Perdana Menteri Tentang
Pengubahsuaian Bajet 2016 di PICC, Putrajaya, 28 Januari 2016.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia
YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
YB Dato’ Seri Ahmad Husni
Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua
Menteri Kewangan Kedua
YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara
Ketua Setiausaha Negara
Saudara dan Saudari Para
Hadirin dan Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
Hal 1: Mukadimah
1. Alhamdulillahi Rabbil
A’lamin wa biHi nastain. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi
Muhammad Sollal-Lah-hu-a’laihi-wa-sallam.
2. Saya mulakan dengan memetik
tafsir oleh para ulamak merujuk firman Allahu-Taala dalam surah Al-Insyirah
bahawa, pada setiap kesulitan dan dugaan yang kita hadapi, pasti beriring
dengannya kesenangan atau kebahagiaan yang berhikmah.
3. Maka hendaknya, begitulah keyakinan yang wajib ada
dalam diri kita masing-masing dan semestinya yang diletakkan terhadap keadaan
pentadbiran dan pengurusan Kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi
sekalian,
4. Disebut orang sejak
dahulukala, sekali air bah,… sekali pantai berubah. Kendati itu, tengahari ini,
28 haribulan Januari 2016, bertepatan 18 haribulan Rabiul Akhir 1437 Hijrah,
satu lagi perutusan penting hendak saya sampaikan, kerana tampaknya Bajet 2016
turut tertakluk kepada perubahan yang berlaku di persekitaran ekonomi global.
5. Apa yang saya ingin perkata
dan kongsikan hari ini, lebih bersifat penerangan, perbandingan, penjelasan dan
langkah-langkah menangani situasi-situasi yang negara telah dan sedang lalui
dalam pelbagai babak sejak hampir 2 dekad yang lalu.
6. Lantaran, kita bersyukur ke
hadrat Allah SWT kerana, pada tengahari Khamis, yang mulia ini, hadirnya di
dewan PICC ini, saudara dan saudari di kalangan pimpinan dan para pentadbir,
penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil
kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.
7. Semuanya hadir ke majlis
perutusan khas ini, bagi tujuan mendengar dan memahami tindakan Kerajaan, mengubahsuai
dan menstruktur beberapa perencanaan ekonomi khususnya berhubung dengan Bajet
2016.
Saudara-saudari serta Rakyat
Malaysia yang dikasihi sekalian,
8. Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan
penstrukturan ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya,
bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan
keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.
9. Makanya, selaras dengan
konsep Rakyat Didahulukan, langkah-langkah yang akan saya umumkan sebentar
lagi, merupakan rumusan setelah mengambil kira pendapat dan pandangan secara
menyeluruh.
10. Ini turut dilengkapkan
lagi melalui sesi – sesi perundingan dengan pelbagai economic stakeholders,
termasuklah juga syarikat-syarikat GLC, ahli-ahli ekonomi serta pakar-pakar
industri.
11. Bahkan, Kerajaan juga
telah mendapatkan idea-idea bernas daripada pihak-pihak NGO, yang mewakili para
pengguna, ahli-ahli perniagaan tersohor serta pengarah-pengarah perbankan
runcit dari pelbagai peringkat.
12. Ternyata sebahagian besar
daripada mereka, hadir bersama kita pada tengahari ini. Terima kasih saya
ucapkan di atas semua input dan dokongan anda,…terima kasih,… terima kasih.
Indeed,… we are all doing this
together for our nation.
Hal 2: Perbandingan Senario
Ekonomi Negara Sejak 1997/98
Saudara-saudari sekalian,
13. Terlebih dahulu, mari kita
himbau senario keadaan ekonomi negara ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun
1997 hingga 98.
14. Pada tahun 1997 hingga 98,
negara telah mengalami apa yang disebut sebagai kegawatan ekonomi. Hinggakan
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, direkodkan pada negatif 7.4
peratus.
15. Ketika itu, janganlah kita
lupa bahawa,… antara kesan besar kegawatan ekonomi yang berlaku tersebut, telah
menatijahkan pemberhentian pekerja secara mendadak, inflasi meningkat, rizab
antarabangsa pula menyusut kepada 59 bilion ringgit, hatta indeks pasaran saham
KLSE jatuh menjunam sehingga mencecah paras 260.
16. Begitu banyak,
syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar, sampaikan segolongan anak-anak kita
waktu itu antaranya lepasan SPM dan juga pasca sarjana muda, ramai yang hancur
luluh hasrat dan impian mereka, untuk menyambung pengajian ke luar negara
terbantut, disebabkan Kerajaan masa itu tidak mampu memberi pembiayaan.
Saudara dan saudari serta
rakyat Malaysia sekalian,
17. Jadinya, atas situasi yang
melanda itu, Kerajaan yang memimpin pada tempoh itu, telah mengambil
langkah-langkah drastik termasuklah pelaksanaan kawalan modal atau capital
control dan tambatan matawang pada 3.8 ringgit berbanding 1 dolar Amerika.
18. Institusi perbankan telah
dirasionalisasi, hutang syarikat swasta distruktur semula melalui penubuhan
Danaharta dan Danamodal. Kerajaan ketika itu juga, telah melaksanakan pakej
rangsangan bernilai 7 bilion ringgit untuk memulihkan kembali ekonomi domestik.
Saudara dan Saudari sekalian,
19. Seterusnya, negara sekali
lagi menghadapi kegawatan ekonomi pada senario 2008 hingga 2009. Ia akibat
subprime crisis di Amerika yang memberi impak kepada ekonomi global, serta
kenaikan mendadak harga minyak dunia, sehingga mencecah 130 dolar Amerika
setong, berbanding purata 70 dolar Amerika setong pada tahun sebelumnya, yakni
2007.
20. Eksport negara pula
menyusut lebih 15 peratus. Kesannya, sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan
turut terjejas.
21. Ketika itu, saudara dan
saudari, saya baru sahaja dilantik sebagai Menteri Kewangan dan tanpa berlengah
lagi, mengambil langkah segera dengan membentangkan pakej rangsangan ekonomi
pertama yang bernilai 7 bilion ringgit pada November 2008.
22. Beberapa bulan selepas
itu, diikuti pula dengan pakej rangsangan kedua bernilai 60 bilion ringgit pada
Mac 2009, untuk terus merangsang aktiviti ekonomi domestik. Pakej rangsangan
kedua ini juga, melibatkan kerjasama dan inisiatif daripada pihak Kerajaan dan
swasta.
23. Tidak cukup sekadar
pakej-pakej itu, selanjutnya, selepas sahaja saya mengambil tampuk kepimpinan
negara, pelbagai prakarsa telah Kerajaan rencana dan laksanakan, di bawah
lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN sehingga kini.
24. Kerajaan telah melancarkan
Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, demi memacu Malaysia menjadi Negara
Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2020.
25. Hasil mahsulnya, daripada
sekian banyak inisiatif dan program transformasi, Alhamdulillah, pertumbuhan
ekonomi negara terus ampuh dengan purata KDNK 5.6 peratus, mengurangkan defisit
fiskal Kerajaan daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus, serta kadar inflasi
yang terkawal.
26. Manakala, kita juga
bersyukur, kerana kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Selain itu,
sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, serta
memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1 Malaysia seperti BR1M, Baucar
Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, juga program
perumahan mampu milik.
Rakyat Malaysia yang dikasihi
sekalian,
27. Hujan panas permainan
hari, susah senang permainan hidup,… langit pula tidak selalunya cerah.
Menjengah senario ekonomi negara pada tahun lepas, yakni 2015, Malaysia diuji
lagi dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga dan berada di luar kawalan
kita.
28. Harga minyak telah jatuh
daripada 100 dolar Amerika, kepada 48 dolar Amerika setong. Sejak itu, harga
minyak terus turun, hinggakan Bajet 2015 perlu diubahsuaikan.
29. Apa yang berlaku pada
tahun lepas, hasil negara daripada sumber berasaskan minyak, telah jatuh hampir
14 bilion ringgit. Maka, pada 20 haribulan Januari 2015, bagi pihak Kerajaan,
saya telah membentangkan pengubahsuaian ke atas Bajet 2015, dengan
merasionalisasi perbelanjaan serta menyemak semula sasaran defisit fiskal
kepada KDNK, daripada 3 peratus kepada 3.2 peratus.
30. Ingin saya nyatakan
bahawa, pengubahsuaian Bajet 2015 tersebut, turut disokong oleh inisiatif
seperti rasionalisasi subsidi minyak yang telah dilaksanakan terdahulu,
walaupun ianya merupakan keputusan yang tidak popular.
31. Syukur kepada Allah,
kesemua langkah ini telah berjaya mengurangkan kesan akibat daripada kejatuhan
harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.
32. Bahkan, agensi penarafan antarabangsa
seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi
dan kedudukan kewangan kita, dengan mengekalkan penarafan yang baik.
33. Dengan semua ini, saya
yakin ekonomi akan mencatat pertumbuhan 5 peratus dan defisit fiskal kepada
KDNK pada 3.2 peratus, seperti yang disasarkan pada 2015. Insya-Allah, laporan
sebenar akan diumumkan pada bulan hadapan.
Hal 3: Senario Ekonomi Terkini
Saudara dan saudari sekalian,
34. Bagi tahun 2016 pula,
ekonomi global dijangka lebih mencabar. Data semasa oleh IMF menunjukkan
pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu daripada 3.6 peratus
kepada 3.4 peratus.
35. Manakala, perdagangan
dunia juga dijangka menyusut, daripada 4.1 peratus kepada 3.4 peratus. Ini
adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika Selatan, Amerika
Syarikat, Brazil dan China juga dijangka berkembang dengan lebih perlahan.
36. Trend ini membuktikan, we
are not alone in facing the global economic challenges. Negara-negara lain juga
turut menerima kesan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.
37. Harga minyak mentah dunia
pula, terus merudum pada paras 30 dolar Amerika setong. Setakat semalam, harga
minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada 31 dolar Amerika setong, iaitu
penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar Amerika, semasa pembentangan
Bajet 2016.
38. Perkara ini ternyata akan
memberi kesan signifikan kepada hasil negara. Malah, negara-negara pengeluar
minyak turut terjejas ekonomi mereka.
39. Di samping itu, kadar
tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding matawang lain. Antara matawang
tersebut adalah, Real Brazil, negatif 23.2 peratus, Renminbi China, negatif 5.7
peratus, Dolar Kanada, negatif 11.3 peratus, Ruble Rusia, negatif 29.3 peratus
dan Dolar Singapura, negatif 5.6 peratus.
40. Sementara itu, nilai
Ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika sebanyak 11.3 peratus iaitu
daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015 kepada 4.25 ringgit setakat 27 Januari
2016.
41. Hakikatnya ringgit kini di
rendah nilai daripada yang sewajarnya, seraya tidak mencerminkan asas-asas
ekonomi negara. Oleh itu, ringgit dijangka akan lebih menggambarkan kekuatan
sebenar asas ekonomi apabila keadaan pasaran kewangan global kembali stabil kelak,
dan harga minyak kembali kepada paras yang lebih munasabah.
Hal 4: Langkah-Langkah Baru
dan Terkini
Saudara dan Saudari serta
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
42. Kesemua perkembangan yang
telah saya nyatakan itu, telah mengakibatkan ekonomi global menjadi tidak
menentu, dan tempiasnya ke atas ekonomi domestik turut memberi kesan kepada
peningkatan kos sara hidup rakyat.
43. Menyedari hakikat ini,
demi menggalas amanah sebagai Ketua Kerajaan yang bertanggungjawab, bersama
Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri, pada hari ini, kita
mengambil tindakan proaktif untuk membuat pengumuman bagi melaksanakan
langkah-langkah pengubahsuaian terhadap Bajet 2016.
44. Sesungguhnya, inisiatif
ini adalah amat penting untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan
yang lebih utama, melindungi kebajikan rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita
akan berjaya mengharungi sekali lagi cabaran ekonomi ini.
We have done it before,…
Insya-Allah,… we can do it again.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
45. Seperti mana situasi tahun
lalu, sekali lagi saya mahu tegaskan bahawa,… dengan izin Allah jua,… negara
ini tidak dan bukannya berada dalam kegawatan ekonomi, mahupun technical
recession.
46. Malah, dengan berkat usaha
dan doa kita bersama, mudah-mudahan pertumbuhan ekonomi domestik akan terus
kekal kukuh, dan berdaya tahan, serta mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi
global.
47. Selain meneruskan dengan
langkah-langkah yang dirumuskan pada pembentangan Bajet 2016 yang lalu,
sukacita saya umumkan pula 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian, demi
mempastikan ekonomi dan kewangan negara, kekal berada pada jajaran yang betul.
48. Langkah pertama: Kerajaan
bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus
mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun, caruman majikan
dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta
sehingga 8 bilion ringgit setahun.
49. Langkah kedua: Kerajaan
akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu ringgit, kepada pembayar
cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun
taksiran 2015. Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil
sebanyak 350 juta ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai
individu sehingga 475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2
juta pembayar cukai.
50. Langkah ketiga: Bagi
mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, Kerajaan akan
melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:
Satu: Kerajaan akan
meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan produk pertanian
terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang konsisten.
Antara produk pertanian
termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pada masa yang
sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan import akan terus
diutamakan.
Dua: FAMA akan membuka pasar
belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan
seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga
jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Buat permulaan, ia akan dibuka
di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan, dan akan diperluaskan ke 10
lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada tahun ini juga.
Tiga: Dalam mempastikan rakyat
menikmati harga barangan yang berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk
mengenalpasti lebih banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti,
hypermarket asing dan tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan
ditingkatkan daripada 640 buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.
Empat: Dalam waktu yang sama,
saya mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengambil
tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika, serta
mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlipat ganda atau profiteering.
Lima: Untuk terus membela
untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, Kerajaan
menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi setiap 1 tan metrik padi
bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada masa yang sama, Kerajaan akan
menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi melalui sistem penggredan
standard; dan
Enam: Kerajaan amat prihatin,
kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup,
terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program MyBeras diperkenalkan, di
mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan dengan 20
kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu langkah, sehingga Disember
2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
51. Langkah keempat: Berkuat
kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu, Kerajaan akan menetapkan
kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit, terhad kepada
pembeli rumah pertama sahaja.
Kerajaan juga akan mengadakan
Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan oleh
JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta. Lebih 100 ribu unit
rumah akan ditawarkan dalam program ini.
Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35
ribu ringgit, sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan
Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan
pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini
akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.
52. Langkah kelima: Selaras
dengan apa yang saya umumkan pada Bajet 2016, sumbangan 30 peratus daripada
levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan disediakan untuk meningkatkan
kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi inisiatif reskill dan upskill,
termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.
53. Langkah keenam: Bagi
meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, perkara -perkara berikut akan
dilaksanakan:
Satu: Kerajaan akan
menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para pengelak cukai atau
tax evaders.
Dua: Kerajaan bersetuju
memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan penalti kepada pembayar
cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke
belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.
Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai,
bagi terus mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1
bilion ringgit, Kerajaan akan menstruktur semula saluran jualan rokok dan
minuman keras, untuk dihadkan kepada Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan
oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.
Empat: Pengecualian cukai
kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan diperketatkan di pulau-pulau ini.
Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman
keras serta kenderaan ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan
pelancong di pulau bebas cukai ini.
Lima: Kerajaan akan
mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui pengagihan
semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat; dan
Enam: Bagi merancakkan lagi
kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan beberapa kawasan strategik milik
Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.
Saudara dan Saudari sekalian,
54. Langkah ketujuh: Di atas
inisiatif Timbalan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pekerja
Asing, Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing, di
mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori sahaja. Ini tidak
termasuk kategori pembantu rumah asing.
Selain itu, Kerajaan telah
bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau
Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram
di Malaysia diberikan permit kerja yang sah. Pelaksanaan program ini adalah
bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah
PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan.
55. Langkah kelapan: Kerajaan
akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan,
meneruskan usaha merasionalisasi pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan,
Badan Berkanun Persekutuan dan GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula
entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.
56. Langkah kesembilan: Bagi
perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan diberikan kepada projek dan program
yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta mempunyai kesan pengganda yang
tinggi dan kandungan import yang rendah.
Projek fizikal yang diutamakan
adalah seperti pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan
pengangkutan awam serta keselamatan. Pelaksanaan projek bukan fizikal dan
projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula. Langkah ini,
dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit
serta tidak menjejaskan ekonomi dan rakyat.
57. Langkah kesepuluh:
Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal teroka atau VC milik
Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6 bilion ringgit, dalam
menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan atau startup
companies; dan
58. Langkah kesebelas: Saya
menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan jurang
pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja, secara berperingkat. Malah,
sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara yang sama. Perkara ini akan
dipantau oleh EPU.
Saudara dan saudari sekalian,
59. Kini, sektor pelancongan
akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan kedatangan pelancong boleh
merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya dalam keadaan ekonomi
sekarang. Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penganjuran
penjualan pakej percutian domestik bersepadu.
60. Selain itu juga, Kerajaan
akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan
eVisa kepada beberapa negara yang dikenalpasti.
61. Sebagai langkah tambahan,
sukacita saya umumkan, bahawa pelancong dari China tidak memerlukan visa untuk
ke Malaysia atau Visa Free, bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk
kepada syarat-syarat yang tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.
Saudara dan saudari sekalian,
62. Meskipun situasi ekonomi
global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang
dianggarkan berkurangan 7 hingga 9 bilion ringgit, berbanding dengan unjuran
hasil negara pada harga minyak 48 dolar Amerika setong, Kerajaan tidak sesekali
berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat.
63. Misalannya, Program
Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus dilaksanakan. Di sini juga saya
tegaskan, bahawa Kerajaan akan mengekalkan kadar GST seperti sedia ada.
64. Selain itu, Kerajaan akan
meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek
yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah people economy.
65. Ini, tidak akan melibatkan
emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme
penyampaian kerajaan atau delivery mechanism. Malah, Kerajaan tidak akan
memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.
Bahkan, Kerajaan juga akan
meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan kepada para penjawat awam
pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet.
66. Kesemua langkah berhemat
yang dibentangkan sebentar tadi, dijangka dapat menjimatkan sehingga 9 bilion
ringgit perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Saudari dan saudari sekalian,
67. Meski apapun yang berlaku,
Kerajaan tetap memberi jaminan dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa
depan anak-anak kita. Dengan ini, Kerajaan bersetuju, untuk meneruskan empat
program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti berikut:
Pertama, Program Biasiswa
Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM, untuk melanjutkan pengajian
di universiti terkemuka seluruh dunia.
Kedua, Program Khas
Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.
Ketiga, Program Lepasan
Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah
Pertama di Universiti Awam, dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam
negara; dan
Keempat, Pengambilan baharu
seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang
ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.
68. Seterusnya, peruntukan
pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan terus disalurkan kepada para
mahasiswa.
69. Selanjutnya, bagi
mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim
Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.
70. Untuk pengetahuan ramai,
pada masa ini sahaja, seramai 25 ribu pelajar telah mengikuti pengajian di
bawah program-progam ini. Makanya, sebagai tambahan, saya mahu menyatakan
bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan tambahan seramai 15 ribu pelajar baru
untuk program MyMaster, 5 ribu pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim
Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran. Kesemua program ini akan diberi
peruntukan tambahan sebanyak 300 juta ringgit.
Saudara dan saudari sekalian,
71. Seterusnya, saya ingin
menyatakan bahawa:
Pertama: Dengan mengambil kira
senario ekonomi semasa, Kerajaan telah membuat keputusan menyemak semula
unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2016, kepada 4 hingga 4.5 peratus dan andaian
purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35 dolar Amerika setong;
Kedua: Kerajaan tetap komited
mengekalkan langkah konsolidasi fiskal bagi tahun 2016, iaitu untuk mencapai
sasaran 3.1 peratus kepada KDNK;
Ketiga: Kadar hutang negara
akan terus berkurangan dan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada
KDNK;
Keempat: Kerajaan tidak akan
mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit;
Kelima: Dasar monetari yang
akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan
ekonomi dalam negeri; dan
Keenam: Mempastikan sistem
kewangan negara mempunyai kecairan yang mencukupi. Terbaru, Bank Negara
Malaysia telah mengumumkan penurunan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun atau
Statutory Reserve Requirement, daripada 4 peratus kepada 3.5 peratus.
72. Jelasnya, Kerajaan tidak
akan berganjak daripada dasar-dasar fiskal dan monetari, demi keutuhan ekonomi
negara.
73. Selain itu, Kerajaan juga
bimbang dengan kos gaya hidup rakyat yang tidak bersesuaian dan melebihi
kemampuan mereka. Sehubungan ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di
bawah Bank Negara Malaysia, akan memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami
kesukaran dalam menguruskan obligasi hutang, melalui penyusunan semula pinjaman
sedia ada. Berita baiknya, kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma.
Saudara dan saudari sekalian,
74. Sebagai tambahan, bagi PKS
dan syarikat korporat berdaya maju yang mengalami tekanan kewangan disebabkan
oleh persekitaran semasa, Kerajaan turut menyediakan mekanisme perundingan,
melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penyusunan Semula
Hutang Korporat.
75. Dari segi pelaburan pula,
saya ingin menekankan bahawa, Kerajaan akan terus komited untuk mencapai
sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit tahun ini.
76. Contohnya, pelaksanaan
projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya Pan-Borneo, Malaysian Vision
Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan High-Speed Rail akan diteruskan.
77. Untuk meningkatkan
strategic linkages di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan terus
melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai Petani, Miri, Sibu,
Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan Kangar.
78. Manakala, empat RTC baharu
dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang, Rembau, Negeri Sembilan, Sungai
Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun ini, Insya-Allah.
79. Seterusnya, bagi menembusi
pasaran antarabangsa, MATRADE dan SME Corp akan memperhebatkan program mid-tier
dan Go-Export. Selain itu, untuk meningkatkan kemudahan jaminan kredit bagi
tujuan perdagangan, Exim Bank akan menambah dana pembiayaan sebanyak 500 juta
ringgit.
80. Sebagai sebuah negara
perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka, Kerajaan akan meluaskan pasaran
eksport. Kita harus meneroka pasaran baru melalui penyertaan negara dalam
perjanjian perdagangan bebas, seperti ASEAN Economic Community atau AEC, dan
Trans-Pacific Partnership Agreement, atau TPPA serta Regional Comprehensive
Economic Partnership pada masa akan datang.
Saudara dan saudari sekalian,
81. Berkait isu TPPA ini yang
Alhamdulillah telah diluluskan oleh Dewan Rakyat lewat petang semalam, tidak
timbul sama sekali tuduhan oleh sesetengah pihak, kononnya kita berkompromi
tentang soal kedaulatan negara, apatah lagi bersifat apologetic dalam
mempertahankan agenda Bumiputera, ketika berunding dengan anggota-anggota TPPA.
82. Malah, ketahuilah bahawa
hasil kesungguhan dan ketegasan Kerajaan dalam proses perundingan, akhirnya,
anggota-anggota TPPA telah menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai
sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.
83. Ertinya, agenda Bumiputera
bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya kini agenda Bumiputera
sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.
Hal 5: Penutup
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
84. Sesebuah negara maju bukan
sahaja kerana dasar-dasar yang betul dan baik, tetapi juga kerana sumbangan
daripada segenap lapisan masyarakat.
85. Kita semua mempunyai
peranan masing-masing, tidak kira samaada pihak swasta, Kerajaan, NGO, Belia
atau Wanita. Tidak kira CEO, Pengarah, Pegawai Pelaksana, buruh ataupun seorang
peniaga kedai.
86. Secara keseluruhannya,
dapat saya gariskan lima perkara as the key salient points:
Pertama: Langkah
pengubahsuaian yang saya umumkan tadi merupakan langkah proaktif, telus dan
realistik seiring dengan cabaran ekonomi semasa;
Kedua: Ekonomi negara masih
utuh, tumbuh dan berkembang serta berdaya tahan dipacu oleh aktiviti ekonomi
domestik;
Ketiga: Kesejahteraan rakyat
akan terus didahulukan dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas;
Keempat: Kerajaan komited
melaksanakan langkah konsolidasi fiskal; dan
Kelima: Pengubahsuaian bajet
ini bertunjangkan kepada prinsip shared responsibility oleh segenap lapisan
masyarakat.
Saudara dan Saudari, Rakyat
Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
87. Secara kesimpulannya,
perutusan penstrukturan dan pengubahsuaian ini, sama juga seperti perutusan
tahun lepas, bukanlah satu bajet yang baharu. Ia masih di dalam ruang lingkup
inisiatif serta peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen bagi Bajet 2016.
88. Apa yang jelas, kita faham
bahawa, perihal-perihal bersangkut ekonomi dan fiskal negara, bukanlah
perkara-perkara yang mudah dihadam, mahupun difahami oleh semua peringkat.
89. Bahkan, ia tidak sekadar
terletak kepada tanggungjawab dan amanah di peringkat tertinggi pentadbiran
negara.
90. Meminjam kata-kata orang tasawuf, dalam hidup dan
kehidupan dan dalam negara serta berkerajaan, setiap orang perlu memainkan
peranan, saling ganding berganding, berat sama dipikul, ringan pula sama
dijinjing, pandanglah yang Satu kepada yang ramai, pandanglah yang ramai kepada
yang Satu, itulah dia sumber kekuatan.
91. Lantas, sesudah ini, saya
berharap tiap lapisan memainkan peranan masing-masing bagi menerangkan letak
duduk keadaan ekonomi dan ikhtiar-ikhtiar yang tidak kunjung putus diambil oleh
Kerajaan yang mentadbir, bagi terus memperteguhkan keadaan ekonomi serta
menjaga kesejahteraan rakyat, agar dampaknya tidak begitu terkesan dan terbeban
di bahu mereka.
92. Maksud saya, semua
golongan dari pentadbiran Kerajaan hinggalah kepada cendekiawan yang mahir ilmu
pengetahuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut akan ehwal yang berlaku
supaya semua pihak dari se-atas hingga se-bawah-bawahnya, membawa kepada
perbualan di gerai gerai mamak dan teh tarik, mengetahui seboleh mungkin
perihal cabaran serta tantangan yang negara hadapi kini.
93. Dengan itu, moga-moganya,
anak cucu kita kelak, akan memberi rasa hormat atas setiap kebaikan yang kita
capai demi kelangsungan Malaysia yang sebenarnya bukanlah hak kita, namun
adalah hak warisan generasi akan datang.
94. Jelasnya, kita berpegang
kepada madah orang-orang tua, berdiam dirilah daripada berkata yang
bukan-bukan, namun bersuaralah kepada perkara yang berguna. Usah ditanya apakah
bakti negara kepada kita, sebaliknya, tanyalah apakah sumbangan kita kepada nusa
dan bangsa.
Saudara dan Saudari,
Saudara dan Saudari,
95. Pucuk pangkalnya, perlu
difaham baik-baik, bahawa apa yang sedang dihadapi, bukanlah kerana kegagalan
Kerajaan merancang, tetapi kemelut ekonomi global yang terus terusan melanda,
sememangnya, berada di luar kawalan tangan tangan kita.
96. Sesungguhnya, setiap
keputusan yang kita lakukan hari ini, adalah yang terbaik untuk rakyat dan
pastinya akan terakam dalam sejarah. Bahawa, Malaysia bukan sebuah negara yang
gagal, seperti yang didakwa dan dituduh-tuduhkan, jauh sekali menjadi bankrap.
Nauzubillah…
97. Bahkan,… realitinya kita
masih berada dalam keadaan yang stabil dengan pertumbuhan yang kukuh, sekaligus
mampu bertahan lagi kekal terus berdaya saing. Insya-Allah.
98. Sama-samalah kita berdoa
kepada Allah yang maha berkuasa, semoga akan terungkai segala masalah, beroleh
berkat dan selamat, serta sentosalah Malaysia, zahir dan batin.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
"Sumber dipetik Utusan Online"